Wednesday, June 9, 2010

"SELAMAT HARI GURU"

Setiap kali menjelang 16 Mei, mengingatkan kita hari yang bersejarah dan bermakna iaitu sambutan Hari Guru. Tarikh 16 Mei adalah tarikh keramat bagi mengenangkan jasa dan sumbangan para guru dalam membangunkan kualiti modal insan.
Sejarah telah memahatkan jatuh bangun sesuatu bangsa bergantung kepada kualiti pendidikan umat.Jika mundurnya pendidikan umat maka mundurlah bangsa dan sebaliknya. Justeru sebagai guru kita harus menggalas tugas dengan penuh tanggungjawab. Bersempena Hari Guru ini, marilah kita bersama-sama menghargai jasa dan pengorbanan para guru. Semoga keringat dan sumbangan bakti mereka menjadi amal pada hari kemudian. Guru bak kata orang adalah lilin yang membakar dirinya untuk menerangi orang lain.


Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Selamat Hari Guru

“Guru Pembina Negara Bangsa”

Wednesday, January 27, 2010

Kursus pemantapan praktikum


Alhamdulillah, pada 9 Januari 2010 yang lalu kami selamat menjalani kursus pemantapan praktikum. Kursus yang dianjurkan oleh Unit Latihan Jabatan Agama Johor ini banyak memberi impak positif kepada diri kami semua. Walaupun penat namun kami ianya berbayar dengan ilmu yang diperolehi...

Thursday, December 31, 2009

GERHANA BULAN SEPARA


Pada awal pagi tahun baru (1 Jan 2010), bulan akan mengalami proses gerhana sekali lagi. Tetapi kali ini gerhana bulan separa sahaja. Kemuncaknya berlaku pada jam 3.24 pagi waktu Malaysia.

Sebanyak 8 peratus daripada Bulan sahaja berada di dalam bayang-bayang umbra. Namun, ia cukup menarik untuk dicerap kerana bulan penuh akan kelihatan sompek sedikit di awal-awal pagi tahun baru masehi.

Menarik kali ini ia berlaku ketika fenomena di panggil "Blue Moon". Untuk "Blue Moon" berlaku amat jarang, iaitu setiap lebih kurang 2.5 tahuh. Untuk ia berlaku pada awal tahun baru masehi lagi jarang, iaitu setiap 19 tahun. Dan mengikut maklumat dari NASA, untuk 1000 tahun akan datang, kombinasi Blue Moon dan Gerhana Bulan akan berlaku hanya 11 kali sahaja, atau sekali dalam setiap 19 tahun.

Wednesday, December 30, 2009

Jualan buku

Pada 28, 29, 30 dan 31 Disember 2009, satu sesi jualan kitab, buku tulis dan alatan keperluan sekolah telah diadakan. Jualan telah dibuka dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari.

Tuesday, December 15, 2009

BULAN MUHARRAM

MUHARAM

MUHARAM adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.

Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

DOA AKHIR TAHUN
Dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah.

Sesiapa yang membaca doa ini, syaitan berkata:
"Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun."

Berikut adalah Doa Akhir Tahun:
Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.
Ya allah, sesungguhnya pada tahun ini aku telah melakukan laranganMu tetapi aku masih belum bertaubat sedangkan Engkau tidak reda dan melupai perkara itu. Engkau telah menangguhkan azabMu yang telah ditetapkan kepadaku. Engkau telahmemerintah supaya aku bertaubat dari kesalahan itu. Sesungguhnya pada hari ini aku memohon keampunan dariMu, ampunilah aku dan apa yang telah aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redai dan Engkau janjikan pahala maka aku memohonnya daripada Engkau. Ya Allah, Ya Karim, Ya Zaljalali Wal Ikram.
Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya. Segala puji hanya bagi Allah, tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam...Amin...

DOA AWAL TAHUN
Dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram.
Sesiapa yang membaca doa ini, syaitan berkata:

"Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan."


Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.
Ya Allah, Engkaulahyang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihanMu yang Maha Agong dan kemurahanMu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun ini aku memohon kepadaM perlindungan daripada syaitan yang direjam, dari sekalan kuncunya, tenteranya dan penolongnya. aku juga memohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendoong ke arah kejahatan danmelalaikan dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diriku kepadaMu.
Selawat serta salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan paa sahabat. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam....Amin...

PERISTIWA-PERISTIWA PENTING PADA BULAN MUHARRAM

1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.
10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran.

Pada 10 Muharam juga telah berlaku:
Nabi Adam bertaubat kepada Allah. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar. Hari pertama Allah menciptakan alam. Hari Pertama Allah menurunkan rahmat. Hari pertama Allah menurunkan hujan. Allah menjadikan 'Arasy. Allah menjadikan Luh Mahfuz. Allah menjadikan alam. Allah menjadikan Malaikat Jibril. Nabi Isa diangkat ke langit.



AMALAN-AMALAN SUNAT PADA BULAN MUHARRAM

1) Berpuasa. Maksud Hadis: Barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharam pahalanya seumpama berpuasa 30 tahun.Maksud Hadis: Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun.
2) Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.


EMPAT BELAS PERKARA SUNAT DILAKUKAN PADA HARI ASYURA (10 Muharram):

1) Melapangkan masa/belanja anak isteri. Fadilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
2) Memuliakan fakir miskin. Fadilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.
3) Menahan marah. Fadilatnya - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha.
4) Menunjukkan orang sesat. Fadilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.
5) Menyapu/mengusap kepala anak yatim. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.
6) Bersedekah. Fadilatnya - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
7) Memelihara kehormatan diri. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
8) Mandi Sunat. Fadilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala."
9) Bercelak. Fadilatnya - Tidak akan sakit mata pada tahun itu.
10) Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000X. Fadilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti.
11) Sembahyang sunat empat rakaat. Fadilatnya - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala." Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11X.
12) Membaca "has biallahhu wa nik mal wa keel, nikmal maula wa nikmannaseer". Fadilatnya - Tidak mati pada tahun ini.
13) Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
14) Puasa. Niat - "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala." Fadilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

Sunday, December 13, 2009

Ziarah

Sabtu, 12 Disember 2009 kami sekelas telah pergi melawat Ustazah Zanariah Paimun di Kg Paya Sari Panjang, Pagoh Muar. Atas ikatan persahabatan yang ihklas kami telah mengunjunginya yang kini sedang menderita sakit cancer.Tiba di rumahnya, ya Allah kami lihat tabahnya beliau mengharungi saat-saat getir penyakit yang dihidapinya... Apapun buat Ustazah Zanariah kami doakan beliau cepat sembuh.

Monday, December 7, 2009

CORETAN : Tahniah buat Ustazah Hasmawati ...


Mendapat cahaya mata dari baka sendiri cukup membahagiakan. Cahaya mata adalah anugerah Ilahi yang tidak ternilai harganya. Rezeki dan kurniaan dari Allah SWT kepada pasangan suami isteri ini perlu dijaga dengan sebaik mungkin (dengan penuh tanggungjawab). Curahkan kasih sayang dan perhatian sebaik mungkin dan seimbang menurut perintah Allah dan didikan Rasulullah SAW.

Allah SWT berfirman, “Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki, atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya), dan Dia menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.” (asy-Syura: 49-50).

Oleh itu, kita wajib menyambut anak yang lahir dengan penuh kesyukuran dan kasih sayang kerana ini nikmat dari Allah SWT. Nikmat yang akan menjadi penyeri rumahtangga. Membahagia dan menyenangkan hati suami apatah lagi si isteri. Firman Allah, “Dan orang-orang yang berkata: Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami)”. (al-Furqan: 74).

BUAT USTAZAH HASMAWATI SEKELUARGA, TAHNIAH DIUCAPKAN ATAS KELAHIRAN PUTERI YANG KEDUA PADA 6 DISEMBER 2009 YANG LALU. MOGA KELAHIRAN ANAKANDA KEDUA YANG TERCINTA MEMBERI SATU LAGI CAHAYA YANG INDAH BUAT ANDA SEKELUARGA....


Ikhlas,
Ustazah Siti 'Azami Mujahidah Bt Mohamed
sekeluarga...