Renungkan...
Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Apa pun bentuk bencana atau musibah yang melanda, pada hakikatnya ia memiliki peranan yang besar dalam mendidik jiwa kita. Ini kerana sudah semestinya jiwa itu perlu dididik meskipun menerusi penerima bencana.Ia bertujuan semata-mata untuk menguatkan hati, keteguhan sikap, terlatih dan sentiasa waspada terhadap persekitaran.
Pada hakikatnya musibah itu merupakan sunatullah, sebagai suatu proses sebab akibat daripada tindakan seseorang. Musibah itu juga merupakan peringatan daripada Allah SWT, sebagai ujian keimanan dan setiap musibah itu tidak selamanya tanda kemurkaan Allah SWT.
Pada saat itu seseorang manusia harus segera menyedari bahawa apa yang paling penting ialah iltija, iaitu mencari perlindungan diri kepada Allah SWT semata-mata, ketika di mana seluruh tempat bergantung tidak berupaya membantunya untuk menghadapi bencana tersebut.
Tidak ada tempat berlindung kecuali berada di bawah naungan-Nya. Tidak ada pertolongan kecuali daripada-Nya. Sehubungan itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya." (Surah At-Taghabun: 11)
Sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Allah SWT ialah menjadikan kita atau keluarga sebagai tempat sasaran ujian-Nya. Musibah, memang akan selalu mengekori umat manusia di dunia ini kerana ia adalah tempat ujian dan cubaan. Hal demikian ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:
"Dan sesungguhnya akan Kami ujikan kamu dengan sedikit daripada ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan." (Al-Baqarah: 155)
Ini semua bertujuan memperbaiki ketakwaan dan kesabaran hamba-Nya dan akan memilih siapa yang berjaya menerima ujian tersebut dengan penuh kesabaran. Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Mereka yang banyak menerima ujian itu ialah para nabi, siddiqin dan salihin, kemudian mereka yang mengiringi..."
Segala ujian itu seharusnya ditempuh dengan penuh kesabaran kerana ini akan mendekatkan lagi dirinya kepada Allah SWT. Ingatlah bahawa Allah sentiasa bersama orang yang sabar. Bukan bererti orang yang sabar itu akan bergembira apabila ditimpa kesusahan dan ujian tetapi mereka tetap sedih dan dukacita.
Namun, mereka tidak akan bertindak di luar batasan agama. Nabi Muhammad SAW contohnya, pada hari kematian anak kesayangan baginda, Ibrahim, tetap bersedih dan air mata berlinangan, tetapi tidak melakukan sesuatu di luar batas agama melainkan apa yang diredai oleh Tuhan. Maka, orang yang memiliki tahap kesabaran yang tinggi telah benar-benar memurnikan tauhid dan mengikhlaskan doa hanya untuk Allah.
Monday, November 30, 2009
Hikmah di sebalik musibah banjir
Posted by Siti 'Azami Mujahidah Bt Mohamed at 2:18 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment